Pidato
Terima kasih saudara saudari pengacara majlis.
Barisan panel hakim yang
arif lagi bijaksana.
Dif-dif kehormat.
Rakan-rakan seperjuangan.
Sidang hadirin warga dewan,
aspirasi negara.
Assalamualaikum WM WB dan
salam 1 Malaysia.
Prof. Dr Awang Sariyan ada
menyatakan bahawa ”kisah kegemilangan Bahasa Melayu (BM) pada zaman silam telah
membuana di jagat raya…namun, sekadar mengagumi sejarah silam, kita tidak
mungkin dapat mengangkat martabatnya”…Justeru, berdirinya saya di pentas
perdana ini dengan penuh iltizam, ingin menyebarkan sedikit dogma berpandukan
tinta dan wacana para sarjana, melalui mauduk pidato saya… BAHASA JIWA BANGSA.
Bahasa, menurut Kamus Dewan,
adalah ’sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam
satu kelompok manusia. JIWA, BERMAKSUD ”nyawa atau roh”. Manakala, bangsa pula
bermaksud, ”kumpulan manusia dalam satu ikatan ketatanegaraan”. Dalam konteks pidato
saya, konsep bangsa dan bahasa secara total merujuk kepada bangsa Malaysia dan
bahasa kebangsaan kita, yakni BM.
Persoalannya sidang dewan
sekalian, mengapakah bahasa itu dikatakan ’jiwa’ @ ’roh’ bangsa? Apakah
keistimewaan BM kita yang sekian lama diagung-agungkan dalam adikarya seantero
dunia. Marilah bersama-sama saya, merungkai persoalan ini satu persatu melalui
empat nirmala kata, inspirasi mahakarya.
Sidang hadirin sekalian…
Heraclitus menyatakan bahawa
bahasa sangat berkait rapat dengan semua aspek kehidupan manusia. Melalui
bahasa, sesuatu masyarakat mempamerkan nilai-nilai dan budaya mereka kepada
bangsa lain. Pepatah Melayu menyatakan, ’bahasa menunjukkan bangsa’. Hatta,
saya rangkumkan frasa ini dengan nirmala kata saya yang pertama; BAHASA MELAYU
MENCERMINKAN JATI DIRI BANGSA MALAYSIA.
Jati diri @ identiti sesuatu
bangsa merujuk kepada ciri-ciri yang membezakan sesuatu kumpulan manusia dengan
kumpulan manusia lain. Menuturkan sebuah bahasa yang sama ialah antara ciri
yang menentukan jati diri sesebuah bangsa.Tahukah anda? Rakyat Switzerland
menuturkan 4 bahasa yang berlainan iaitu Bahasa Perancis, Jerman, Italy dan
Roman mereka semua adalah bangsa Swiss. Di Malaysia, kita juga mempunyai satu
bahasa kebangsaan yang dituturkan olah masyarakat pelbagai keturunan tanpa was-was.
Tuntasnya, realiti BM sebagai cermin jati diri bangsa Malaysia, tak lapuk dek
hujan, tak lekang dek panas.
Hadirin yang saya muliakan,
Nirmala kata saya yang
kedua; BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU.
Prof. Dr Shahir Mohamad Zain
menyatakan bahawa BM pernah mengungkapkan ilmu dalam zaman kegemilangannya.
Catatan-catatan Melayu Kuno dalam prasasti Funan dan Champa seawal abad ke-7
mengandungi ilmu-ilmu asas dalam bidang sains dan matematik. Bahasa ini
kemudiannya berkembang dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, teknologi,
undang-undang, sastera dan agama.
Sehingga mutakhir ini, BM
telah berfungsi sebagai bahasa akademik yang lengkap dengan laras-laras bahasa
dalam ilmu moden. Oleh itu, tidak hairanlah jika BM kini sedang diajar dan
dikaji di 108 buah pusat pengajian tinggi di serata dunia. Sebagai pewaris
tinta para sarjana, sejuk hati dan mata memandang, apatah lagi telinga ini
mendengar, setiap bait kata yang dilafazkan oleh para peserta Pertandingan
Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu baru-baru ini. Inilah citra BM sebagai bahasa
ilmu.
Meniti kita kepada nirmala
kata saya yang ketiga; BAHASA MELAYU PEMANGKIN PERPADUAN.
Konsep perpaduan telah lama
diterapkan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sehingga hari ini, perpaduan masih
lagi menjadi agenda utama negara di bawah Gagasan 1 Malaysia. Dengan bahasa
yang sama, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum tetap bersatu
padu walaupun mempunyai latar belakang agama, adat resam dan budaya yang
berbeza. Selepas negara mencapai kemerdekaan, BM telah dijadikan bahasa rasmi
dan bahasa kebangsaan.
Bahasa Melayu juga telah menjadi agen
penyatuan rakyat dari segenap ceruk rantau, kesatuan dan persatuan, sama-sama
melupakan perbezaan ras dan dogma dalam perjuangan membebaskan Tanah Melayu
dari belenggu kolonial serta meredakan kemelut perkauman dalam era pasca
kemerdekaan. Bukankah Herodotus ada berpesan bahawa, ”bangsa yang melupakan
sejarah, akan mengulangi sejarah”. Oleh itu, fikir-fikirkan.
Nirmala kata saya yang
keempat dan terakhir; BAHASA MELAYU TERAS PEMBINAAN NEGARA BANGSA.
Bahasa Melayu telah menjadi asas
pembinaan negara bangsa Malaysia yang merdeka. Menurut Prof. Dr Teo Kok Seong,
maruah bangsa Malaysia terletak pada martabat bahasa Melayu yang menjadi
lambang kedaulatan pemerintah dan negara. Ini kerana, Bahasa Melayu telah mendukung
peranan penting sebagai bahasa peradaban dan tamadun tinggi pada suatu ketika
dahulu. Pada zaman kesultanan Melayu Melaka, Bahasa Melayu digunakan secara meluas dalam
pelbagai bidang seperti pentadbiran dan undang-undang.
Ironisnya, di Malaysia kita
tidak perlu menjadi seperti Biscmark dan Machiavelli yang membina negara bangsa
mereka dengan kuku besi, helah dan darah. Cukup sekadar, memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sebagai ramuannya.
Sidang dewan sekalian…
Ingin saya simpulkan, bahawa
Bahasa Melayu bukan semata-mata untuk Orang Melayu tetapi, untuk semua rakyat Malaysia
lantaran bahasa mencerminkan identiti dan citra penuturnya. Daripada bahasa
juga, lahir budi bahasa, ilmuan, keharmonian dan kecemerlangan bangsanya.
Akhir kata dari saya…….…
Untuk menjadi bangsa yang
dihormati dan disegani, BAHASA perlu dijulang tinggi…
Yakinlah (nyanyi), Bahasa
Jiwa Bangsa.
Sekian,
Wabillahitaufiqwalhidayah….
No comments:
Post a Comment