Apakah wasilah terpenting untuk membentuk bangsa Malaysia? Jawapannya jelas: Bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) kerana ``Bahasa Jiwa Bangsa''.
Ini
bermakna bahasa apa yang kita daulatkan, maka bahasa itulah yang membentuk jiwa
kita yang sekali gus memercikkan jati diri kebangsaan.Justeru,
jika seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan asal-usul mendaulatkan
bahasa kebangsaan, akan terzahirlah citra dan keperibadian kita sebagai satu
bangsa - bangsa Malaysia. Sebaliknya, jika kita mendaulatkan bahasa-bahasa
asing, akan terpancarlah `jati diri asing'. Lantas, akan terencatlah
pembentukan jati diri kita sebagai bangsa Malaysia.
Untuk
menghakikatkan gagasan ini bukanlah mudah, apatah lagi jika kita sebagai rakyat
Malaysia mendaulatkan bahasa-bahasa asing di negara kita sendiri - dogma
pemikiran bahasa yang aneh sekali pada zaman pascakolonialisme.
Perlu
ditegaskan bahawa, dalam konteks pembinaan bangsa Malaysia dan pemajuan negara
menurut acuan kemalaysiaan sendiri, pendaulatan hanyalah kepada bahasa kebangsaan
- bukannya bahasa-bahasa asing.
Inilah
prinsip umbi yang seharusnya kita junjung, jika benar kita serius untuk
menghakikatkan gagasan pembentukan bangsa Malaysia, seperti kata pepatah di
mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Justeru,
kita dituntut menguasai bahasa asing, tetapi janganlah pula jiwa dan pemikiran
kita dikuasai oleh bahasa asing. Ini bukanlah budaya bangsa yang maju. Bangsa
yang maju-moden perkasa menjunjung tiga pacak ketamadunan: Mendaulatkan bahasa
kebangsaannya, menyintai jati diri kebangsaannya (bukan perkauman-kesukuan) dan
setia pada nusanya yang satu.Secara
jujur, perlu diakui bahawa kita belum mematuhi acuan tersebut. Lantaran itu,
Malaysia dilihat sebagai `negara tanpa bangsa' - bangsa Malaysia. Hakikat ini
terasa amat pahit, tetapi itulah kebenarannya.
Persoalannya,
mengapakah hanya bahasa kebangsaan yang dinobatkan sebagai alat pemersatuan
bangsa, seperti yang terpancar menerusi slogan ``Bahasa Jiwa Bangsa''? Perlu
dinyatakan di sini hanya bahasa kebangsaan (bukannya bahasa asing atau bahasa
ibunda) yang dapat menitiskan semangat satu bangsa, menyerapkan roh sebangsa,
senegara dan menyemarak jati diri kebangsaan (lawannya identiti perkauman), di
samping pendaulatan bahasa kebangsaan yang menjadi bukti ketaatsetiaan, penghormatan
dan pemuliaan kepada nusa tercinta.Malah,
bahasa kebangsaan jugalah yang berperanan sebagai bahasa ilmu (dalam segenap
bidang), bahasa pentadbiran, bahasa ekonomi, bahasa sosial dan bahasa peradaban
moden.
Oleh
itu, kepentingan bahasa kebangsaan sebagai wadah terpenting - selain wadah
pendidikan dan kebudayaan kebangsaan, untuk membentuk keperibadian bangsa
Malaysia bersemboyankan gagasan ``satu bahasa, satu bangsa, satu nusa'', jelas
tidak sewajarnya disangsikan oleh sesiapa pun.Di
sini terletaknya peranan bahasa kebangsaan dalam rancangan merealisasikan
Wawasan 2020. Sekiranya kita mengabaikan peranan dan kepentingan bahasa
kebangsaan, ini bermakna kita telah tergelincir daripada gerabak pembentukan
bangsa Malaysia itu sendiri.
Kejayaan
pembentukan negara-bangsa Jepun, Korea, selain pengasasan negara-bangsa di
benua Eropah dan Amerika Syarikat, sewajarnyalah kita teladani. Mereka terbukti
telah berupaya memodenkan negara sekali gus membina bangsa dengan mendaulatkan
bahasa kebangsaan negara-bangsa masing-masing.Justeru,
akan tercapaikah gagasan pemajuan negara dan pembinaan bangsa Malaysia, jika
rakyat tidak mendaulatkan bahasa kebangsaan mereka sendiri?
Penting
Sehubungan
itu, kita perlu memperbetulkan beberapa kesilapan mengenai konsep bahasa kebangsaan
dan bahasa ibunda.
Pertama,
sejak bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi-kebangsaan dalam Perlembagaan
Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka, ia bukan lagi menjadi milik tunggal
pribumi Melayu. Malah, bahasa Melayu menjadi milik bersama seluruh warganegara
Persekutuan Tanah Melayu.Justeru,
bahasa Melayu dengan sendirinya menjadi hak milik orang Cina dan India yang
menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu juga. Lebih penting lagi, bahasa
Melayu itulah yang menjadi bahasa kebangsaan orang Cina-India yang telah
menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu.
Kedua,
apabila orang Cina-India telah diberikan hak kerakyatan dan menjadi warganegara
yang sah, taraf bahasa Mandarin-Tamil dengan sendirinya menjadi bahasa asing
kerana bahasa-bahasa tersebut merupakan bahasa rasmi-kebangsaan China dan
India. Ini juga bermakna bahasa Mandarin-Tamil bukanlah bahasa ibunda mereka
lagi kerana mereka telah menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu.Alangkah
anehnya, mereka diterima menjadi warganegara (seterusnya Malaysia), tetapi
mereka masih mengatakan bahasa Mandarin-Tamil sebagai bahasa ibunda mereka.
Ketersilapan ini perlu diperbetulkan hatta dalam perlembagaan negara sekalipun!
Jika
ditinjau semula akar sejarahnya, sejak 1957, (lihat pecahan fasal Perkara 153)
kesilapan ini tidak pernah dipinda, walhal bercanggah dengan hakikat sejarah
kenegaraan Malaysia. Kesilapan inilah yang menjadi antara pemunca utama yang
mengakibatkan peranan bahasa kebangsaan terus ditenggelami oleh gerakan
mendaulatkan bahasa-bahasa asing, khasnya sebagai bahasa pengantar dalam sistem
pendidikan kebangsaan.
Oleh
itu, saranan dan gesaan mujahid-mujadid bahasa kebangsaan (seperti Gapena dan
Awang Sariyan dalam Mingguan Malaysia, 5 Mac 2006) amatlah wajar dilaksanakan
secara tuntas. Masanya telah hampir-hampir nazak, tetapi belum lagi terlambat.
Keazaman politik amat diperlukan.Jika
kita mendaulatkan bahasa-bahasa asing, bahasa asinglah yang beruntung kerana ia
akan terus kekal sebagai bahasa ilmu, teknologi dan peradaban moden; sebaliknya
bahasa Malaysia akan terus mundur dan `mandul' di negaranya sendiri.
Perlu
ditegaskan bahawa kita bukan antibahasa asing. Prinsip kita jelas dan tegas:
Pelajari dan kuasailah bahasa asing, tetapi pendaulatan hanyalah terhadap
bahasa kebangsaan kita sendiri. Inilah sikap dan pemikiran yang amat diperlukan
untuk mencapai Wawasan 2020.
Sumber
Rujukan
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm
No comments:
Post a Comment