Memartabatkan Bahasa Melayu
BAHASA Melayu sejak lebih
daripada satu alaf telah memiliki martabat sebagai bahasa besar. Sejak abad
ke-7 Masihi, bahasa Melayu telah menjadi bahasa kerajaan, bahasa perdagangan,
bahasa pengajian agama dan lingua franca bagi rantau Kepulauan Melayu di bawah
kerajaan Sriwijaya. Pada zaman kesultanan Melayu dari sekitar abad ke-13 hingga
abad ke-19, bahasa Melayu mencapai puncak kegemilangan sebagai bahasa tamadun
Melayu baharu, dengan menjadi bahasa pentadbiran, bahasa diplomasi, bahasa
undang-undang, bahasa ilmu dan falsafah, bahasa perdagangan, bahasa
ketatanegaraan dan bahasa sastera tinggi.
Sarjana Belanda Francois
Valentijn mengungkapkan kebitaraan bahasa Melayu pada abad ke-16 sebagai yang
berikut:
``Bahasa mereka, bahasa
Melayu, bukan saja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di
seluruh kepulauan Melayu dan di negeri-negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang
difahami di mana-mana saja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa
Perancis atau Latin di Eropah, atau sebagai bahasa lingua franca di Itali dan
di Levant. Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita
memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan
saja dimengerti di Parsi bahkan lebih jauh dari negeri itu, dan di sebelah
timurnya sehinggan kepulauan Filipina.''
Kebitaraan bahasa Melayu
pada abad 16 dan 17 dapat dirumuskan dengan kenyataan bahawa bahasa tersebut
telah mencapai taraf bahasa antarabangsa, terutama dengan kedudukannya sebagai
bahasa diplomatik, lingua franca, bahasa perdagangan sedunia, bahasa penyebaran
agama besar dunia dan bahasa sastera.
Kelunturan martabat bahasa
Melayu
Martabat bahasa Melayu
dilunturkan oleh penjajah (Belanda di Indonesia dan Inggeris di Malaysia)
dengan menurunkan darjat bahasa itu daripada bahasa besar dan bahasa
perhubungan luas menjadi bahasa setempat atau bahasa vernakular yang
disempitkan fungsinya hanya sebagai bahasa perhubungan sehari-hari dan lebih
untuk lingkungan masyarakat Melayu. Dalam zaman penjajahan Inggeris, bahasa
Melayu disetarafkan dengan bahasa keturunan yang dibawa oleh Inggeris untuk
kepentingan ekonomi, iaitu keturunan Cina dan India dengan menjadikannya bahasa
penghantar di sekolah vernakular Melayu, sama halnya dengan bahasa Cina di
sekolah vernakular Cina dan bahasa Tamil di sekolah vernakular India.
Dalam bidang bahasa dan
pendidikan, terang bahawa bahasa Melayu hanya menjadi bahasa penghantar sekolah
Melayu yang terbatas pula jangkauan bidang ilmu dan kemahirannya. Hal ini
direncanakan dengan cukup kemas oleh penjajah Inggeris, semata-mata untuk
menutup kemungkinan anak watan dapat muncul sebagai bangsa berwibawa dan dengan
demikian berupaya membebaskan negara daripada cengkaman penjajahan.
Selama hampir setengah abad
negara menikmati kemerdekaan, bahasa Melayu telah menjadi salah satu asas
pembinaan negara yang penting melalui tiga fungsi iaitu sebagai bahasa
kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.
Sebagai bahasa ilmu, bahasa
Melayu telah memungkinkan berlangsungnya pendemokrasian pendidikan apabila
sejumlah besar generasi muda mendapat peluang belajar dalam bahasa kebangsaan,
tanpa kekangan faktor taraf sosioekonomi dan pengasingan etnik serta
keeksklusifan bahasa penghantar ilmu yang dahulunya didominasi oleh bahasa
Inggeris.
Namun, apabila ada tindakan
berpatah kembali untuk menjadikan bahasa lain sebagai wahana bidang-bidang
utama kenegaraan itu, khususnya melalui bidang pendidikan, maka martabat bahasa
Melayu sudah mula tergugat. Pengurangan fungsi dan peminggiran bahasa Melayu
dalam bidang-bidang yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, Akta
Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka secara
langsung akan menjejaskan martabat bahasa Melayu sebagai salah satu tonggak
pembinaan negara.
Walau bagaimanapun dengan
adanya tantangan-tantangan semasa, bahasa Melayu mengalami kemerosotan dalam
dua aspek, iaitu aspek taraf dan mutunya.
Kemerosotan dalam aspek
taraf bermaksud penyempitan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang-bidang yang
telah ditetapkan penggunaannya oleh undang-undang.
Sebagai contoh, penggunaan
bahasa Melayu dalam bidang pentadbiran, undang-undang, penyiaran dan
pendidikan.
Kemerosotan dalam aspek mutu
bahasa pula berkaitan dengan kurang pekanya sebilangan anggota masyarakat
terhadap bentuk bahasa Melayu yang baku dan ragam bahasa Melayu rasmi,
khususnya dalam konteks bidang yang rasmi seperti pentadbiran, penyiaran dan
pendidikan. Percampuran ragam bahasa basahan (yang ditandai oleh fenomena
bahasa rojak atau istilah linguistiknya peralihan kod, bahasa SMS, bahasa
sembang di Internet dan sebagainya) dengan bahasa yang baku dalam situasi rasmi
menjadikan bahasa Melayu kehilangan darjat dan citra sebagai bahasa budaya
tinggi.
Demikian juga, semakin tidak
nyata semangat cinta dan hormat kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
dan asas jati diri negara apabila kian banyak terjadi fenomena penamaan tempat,
bangunan dan jalan, termasuk di kawasan yang menjadi pusat pentadbiran negara,
yang mengutamakan nama berdasarkan bahasa asing (misalnya precinct, parcel dan
boulevard).
Senario kini tentang
kedudukan bahasa Melayu menunjukkan kian kurang terbudayanya bahasa Melayu
dalam kalangan sejumlah anggota masyarakat, khususnya dalam konteks yang
fungsional, iaitu yang berkaitan dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Senario itu tergambar pada beberapa
perkara berikut:
1. Penghayatan penjawat awam
yang kurang memuaskan dalam pelaksanaan peruntukan Perkara 152 tentang peranan
bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sehingga masih banyak urusan rasmi tidak
mengutamakan bahasa Melayu.
2. Tidak tegasnya dan tidak
selarasnya penguatkuasaan penggunaan bahasa dalam sektor tertentu seperti
penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di tempat awam dan
penyiaran.
3. Pengurangan peranan
bahasa Melayu dalam sistem pendidikan sebagai kesan pelaksanaan beberapa
keputusan dan pengecualian pengajaran bahasa Melayu sebagai subjek wajib.
4. Globalisasi yang
sebahagian besarnya melalui perantaraan bahasa asing, khususnya bahasa
Inggeris, sehingga timbul keghairahan yang kadangkala berlebihan dalam kalangan
pelbagai lapisan masyarakat (pemimpin, profesional dan orang awam) untuk
mengutamakan penguasaan bahasa Inggeris dan mengurangkan perhatian kepada
penggunaan bahasa Melayu.
5. Budaya berbahasa Melayu
dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Malaysia, termasuk dalam kalangan
orang Melayu sendiri tidak cukup mantap kerana adanya anggapan bahawa bahasa
Melayu tidak berkolerasi dengan taraf sosial dan pendidikan serta tidak
mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.
Jika bahasa Melayu digunakan
pula, masih besar jumlah anggota masyarakat, termasuk golongan yang berpengaruh
yang menggunakannya pada tahap mutu bahasa yang tidak begitu mencerminkan
budaya tinggi.
6. Kenyataan yang
merendahkan taraf dan relevannya bahasa Melayu turut mengurangkan perhatian dan
keyakinan sebilangan anggota masyarakat kepada bahasa Melayu. Sebagai contoh,
dalam pada DBP mengusahakan penglibatan sektor swasta menggunakan bahasa
kebangsaan pada papan perniagaan dan iklan mereka, Menteri Perumahan dan
Kerajaan Tempatan (menurut laporan The Star pada 1 Januari 2004) membuat
kenyataan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan tidak akan diwajibkan lagi pada
papan perniagaan dan iklan. Seorang menteri kanan pula, mengajak masyarakat
mengabaikan pejuang bahasa yang didakwanya berfikiran sempit.
Langkah meningkatkan martabat bahasa Melayu
Peningkatan martabat bahasa
Melayu sebagai teras pembinaan bangsa Malaysia memerlukan perencanaan semula
dalam beberapa aspek dan pada waktu yang sama memerlukan peneguhan dasar-dasar
yang berkaitan dengannya, sebagai langkah membina ketahanan jati diri dan
maruah bangsa dan negara.
Dalam bidang bahasa, antara
langkah yang perlu diambil termasuklah:
1. Penegasan dasar bahasa
dan penguatkuasaan dasar bahasa secara bersepadu - contohnya, pelaksanaan
penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi hendaklah ditegaskan semula supaya
semua urusan rasmi dan majlis rasmi di peringkat negara mengutamakan penggunaan
bahasa Melayu, selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta
Bahasa Kebangsaan. Semua peruntukan tentang bahasa kebangsaan yang terdapat
dalam undang-undang negara hendaklah bukan sahaja dihormati malah dilaksanakan
dengan ikhlas dan jujur oleh semua lapisan, daripada pemimpin negara hingga
penjawat awam dan masyarakat umum. Usahlah ada sebarang tindakan yang
melemahkan undang-undang tersebut, sama ada melalui pengenalan dasar baru,
pernyataan atau tindakan yang bercanggah dengan undang-undang itu.
2. Pindaan dan perluasan
peruntukan akta yang berkaitan - pindaan Akta Bahasa Kebangsaan yang memberikan
cakupan lebih luas penggunaan bahasa Melayu, pindaan akta-akta yang sudah tidak
kemas kini atau tidak jelas tentang penggunaan bahasa Melayu seperti Akta
Jalan, Parit dan Bangunan, Akta Pertubuhan, Akta Pendaftaran Perniagaan, Akta
Syarikat, Akta Cap Dagang, Akta Industri Pelancongan dan beberapa yang lain perlu
disegerakan. Selain itu, akta yang sedia ada seperti Akta Komunikasi dan
Penyiaran dan Undang-Undang Kecil Pengiklanan mestilah dikuatkuasakan
pelaksanaannya secara tegas.
3. Pengayaan khazanah ilmu
dan persuratan dalam bahasa Melayu - usaha ini perlu ditingkatkan supaya nilai
bahasa Melayu menjadi lebih tinggi sebagai bahasa budaya tinggi, melalui
penerbitan bahan ilmiah dan rujukan umum dalam pelbagai bidang untuk pelbagai
peringkat dan dalam pelbagai media (bercetak dan elektronik). Agenda pengayaan
khazanah ilmu dan persuratan Melayu mesti dimasukkan dalam agenda pembangunan
negara melalui Belanjawan Negara.
4. Pembudayaan bahasa Melayu
melalui sistem pendidikan - usaha ini perlu dimantapkan semula, dari peringkat
prasekolah hingga peringkat pengajian tinggi. Kerajaan perlu memberikan
penegasan yang lebih berat kepada usaha pembudayaan bahasa Melayu sebagai asas
peneguhan tamadun bangsa Malaysia dalam dua aspek yang penting. Yang pertama
ialah pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam proses
pemerolehan dan pengembangan ilmu, selaras dengan perancangan yang dilakukan
oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 yang diperkukuh oleh Jawatankuasa
Penyemak Pelajaran Rahman Talib 1960 dan dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961
dan Akta Pendidikan 1996. Sebarang usaha berundur daripada keputusan yang
penting dan bijaksana serta telah membuktikan kejayaan dalam proses pembinaan
negara hendaklah dielakkan. Kejayaan Universiti Kebangsaan Malaysia dan
universiti-universiti lain dalam pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu
untuk pelbagai bidang ilmu tidak harus direncatkan. Aspek yang kedua ialah
pembudayaan bahasa yang baik, teratur, santun dan mewakili budaya tinggi
melalui kegiatan pengajaran dan pemelajaran, sukatan pelajaran, buku teks dan bacaan
tambahan serta melalui pelbagai kegiatan kokurikulum. Dengan demikian
diharapkan landaan pelbagai ragam bahasa tidak rasmi, sama ada bahasa sembang
Internet, bahasa SMS atau yang lain tidak akan sampai menggugat bahasa yang
mewakili budaya teras.
5. Komponen bahasa dan
persuratan dalam pelbagai program negara - semua program negara yang bersifat
pembinaan sahsiah di pelbagai peringkat mesti memasukkan program bahasa dan
persuratan, misalnya dalam Program Khidmat Negara, kursus Biro Tatanegara, KP3P
dan sebagainya. Kursus atau apa-apa juga program motivasi untuk kalangan ahli
politik dan profesional perlu memasukkan modul bahasa dan persuratan di
dalamnya.
6. Modul bahasa dan
persuratan dalam program latihan jabatan - setiap jabatan dan agensi kerajaan
perlu memasukkan modul bahasa, penulisan dan persuratan dalam program ``kursus
dalam perkhidmatan'' masing-masing.
7. Pemantauan berterusan
terhadap bidang penyiaran dan media massa - usaha ini perlu dilaksanakan untuk
memastikan bahawa media massa melaksanakan tanggungjawab sebagai ejen
pemantapan bahasa yang baik dan santun dalam penyiaran dan penerbitan program
atau bahan. Tindakan perlu dilaksanakan dalam bentuk tindakan pentadbiran dan
juga tindakan undang-undang.
8. Program pemasyarakatan
bahasa kebangsaan bertaraf kebangsaan - kerajaan, melalui semua kementerian,
jabatan dan agensi serta perbadanan dan pihak swasta hendaklah secara aktif dan
terancang menyertai program pemasyarakatan bahasa kebangsaan di seluruh negara
yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, khususnya
Bulan Bahasa dan Sastera Negara yang dilaksanakan setiap tahun selama sebulan.
Selain itu, setiap jabatan kerajaan dan swasta hendaklah diminta merancang dan
menganjurkan kegiatan yang dapat menyemarakkan pembudayaan bahasa Melayu dari
waktu ke waktu dalam perancangan tahunan supaya bahasa dan persuratan Melayu
tidak terpinggir dalam sektor di luar lingkungan orang atau institusi khusus
dalam bidang bahasa dan sastera.
Pembangunan negara yang
hakiki dan bersepadu hanya tercapai apabila semua bidang yang penting diberi
perhatian yang sama beratnya, termasuk bidang bahasa dan budaya. Dalam konteks
pembentukan jati diri dan citra negara ini pula, dasar-dasar yang bersifat
endoglosia, iaitu berasaskan keperibumian yang disokong oleh hakikat sejarah
kebudayaan dan tamadun di negara dan dirantau ini perlu dipertahankan dan
ditingkatkan.
Tidak seharusnya berlaku
keadaan negara menuju kejayaan ekonomi dan industri sementara mengalami
kehancuran dari segi unsur dalaman bangsa, terutama bahasa dan budaya. Oleh
itu, kerjasama antara semua kementerian, jabatan, agensi, pertubuhan, sektor
swasta dan orang perseorangan perlu digemblengkan secara bersepadu oleh
pemerintah dalam bentuk rangkaian yang berkesan untuk memastikan pencapaian
yang seimbang.
Sumber Rujukan
No comments:
Post a Comment